Kenali Ubat Tahan Sakit Anda...

  • Main
  • News

Kenali Ubat Tahan Sakit Anda...

Kenali Ubat Tahan Sakit Anda...

Ubat tahan sakit adalah ubat yang digunakan untuk merawat atau melegakan kesakitan. Terdapat pelbagai jenis ubat tahan sakit yang digunakan dalam bidang perubatan. Ubat tahan sakit boleh diambil melalui mulut (tablet, kapsul dan cecair), melalui suntikan oleh doktor dan melalui dubur (supositori). Terdapat juga ubat tahan sakit dalam bentuk krim dan salap yang boleh disapu di permukaan kulit.

Secara umumnya ubat tahan sakit yang biasa digunakan boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut cara mereka bertindak, iaitu:

1. Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS). Contoh bagi ubat jenis ini adalah ibuprofen dan diclofenac sodium

2. Paracetamol/ acetaminophen

3. Opiod. Contohnya adalah morfin dan tramadol. Kebanyakan pesakit yang memerlukan ubat jenis ini adalah mereka yang menghidap sakit kronik yang menerima rawatan di wad.

Terdapat juga ubat tahan sakit dalam pasaran yang mempunyai gabungan beberapa jenis ubat tahan sakit bagi menambahkan keberkesanan ubat-ubatan tersebut. Di luar negara, banyak ubat tahan sakit diletakkan di bawah kategori ubat ‘over the counter’. Ubat-ubatan ini bukan sahaja tidak memerlukan preskripsi doktor malah boleh dibeli di kedai runcit dan serbaneka. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, ubat tahan sakit ibuprofen dan naproxen boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai biasa.

Namun begitu, situasinya agak berbeza di Malaysia. Majoriti ubat tahan sakit hanya boleh didapati di farmasi dan klinik. Walaupun ada beberapa jenis ubat yang tidak memerlukan preskripsi, ia hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berdaftar. Oleh itu, kaunseling ubat-ubatan dan pemantauan kesan sampingan dapat dilakukan.

Setakat ini, paracetamol adalah satu-satunya ubat tahan sakit oral yang boleh diperolehi dari kedai-kedai lain selain farmasi dan klinik. Paracetamol adalah sejenis ubat yang mempunyai profil keselamatan yang baik dan kurang kesan sampingan sekiranya digunakan mengikut dos yang dicadangkan.

Masalah mungkin berlaku apabila pengambilan ubat-ubatan tahan sakit ini diambil tanpa kawalan dan pemantauan. Lebih-lebih lagi apabila ia mudah didapati seperti di negara-negara yang membenarkan penjualannya di kedai-kedai selain farmasi. Antara risiko yang paling tinggi adalah masalah fungsi buah pinggang.

Masalah buah pinggang ini boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama adalah kegagalan buah pinggang akut. Ia dilaporkan berlaku kepada mereka yang mengambil ubat tahan sakit pada dos yang tinggi dalam jangka masa pendek. Kebanyakan daripada pesakit yang mengalami gejala ini adalah mereka yang mempunyai masalah kekurangan bendalir dalam badan atau dehidrasi.

Selain itu, pesakit geriatrik, penghidap lupus eritematosus sistemik (SLE), dan mereka yang mengambil alkohol dengan banyak lebih berisiko untuk mengalami kegagalan buah pinggang akut ini.

Satu jenis lagi masalah buah pinggang adalah kegagalan buah pinggang kronik. Ia juga digelar sebagai Analgesic Nephropathy. Masalah ini disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan tahan sakit tanpa kawalan dalam tempoh masa yang panjang.

Kegagalan buah pinggang jenis ini memakan masa yang lama untuk berlaku. Beberapa kajian menunjukkan yang ia berlaku apabila pesakit mengambil ubat tahan sakit setiap hari dalam tempoh tiga ke enam tahun. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang mengambil ubat tahan sakit tanpa arahan dan tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi.

Bagi memastikan ubat digunakan secara selamat, pesakit yang dalam kesakitan dinasihatkan untuk mengambil ubat tahan sakit mengikut kadar yang ditetapkan. Contohnya bagi pesakit yang dipreskripsikan dengan paracetamol, anda mungkin dinasihatkan untuk mengambil ubat tersebut 4 kali sehari manakala sesetengah pesakit lain cuma dinasihatkan untuk mengambil ubat pada waktu sakit sahaja. Ini bergantung kepada jenis sakit dan ubat yang diberikan.

Ubat-ubatan NSAIDs seperti ibuprofen dan diclofenac perlu diambil bersama makanan ataupun selepas makan. Ini untuk mengurangkan kesan sampingan ubat tersebut. Apa yang penting adalah kita mengikut arahan yang telah diberikan oleh ahli farmasi atau doktor sewaktu mendapat ubat tersebut.

Seperti kebanyakan ubat untuk penyakit akut, ubat tahan sakit perlu diambil dalam jangka masa yang paling singkat dengan dos yang paling rendah yang dapat melegakan sakit. Ini dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan sampingan ubat. Kebanyakan pesakit cuma memerlukan rawatan selama beberapa hari (sakit kepala/ sakit gigi), atau beberapa minggu (kekejangan otot). Walau bagaimanapun terdapat juga pesakit yang memerlukan rawatan untuk jangka masa yang lama seperti pesakit osteoartritis, artritis reumatoid dan sakit belakang yang kronik.

Bagi mereka yang memerlukan ubat tahan sakit, dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi sebelum mengambil ubat-ubatan anda. Kebiasaannya rasa sakit yang dihadapi boleh dirawat oleh doktor tanpa menggunakan ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit selamat digunakan untuk sakit yang datang secara akut dan tidak kerap sekiranya diambil mengikut peraturan dan dos yang dicadangkan.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menghidap rasa sakit yang kronik, pemantauan berpanjangan daripada doktor sepanjang rawatan adalah sangat penting bagi memastikan kesan sampingan ubat dapat dipantau dan dielakkan